Friday, January 27, 2017

ATM akan Diperkasakan Sebelum 2020 - Hishammuddin

ATM akan Diperkasakan Sebelum 2020 - Hishammuddin


26 Januari 2017


Eurofighter Typhoon salah satu kandidat pesawat MRCA (photo : Airsoc)

SHAH ALAM  - Tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diperkasakan sebelum 2020 bagi memastikan angkatan itu memiliki kelebihan dalam mendepani apa juga ancaman yang boleh mengugat keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi tujuan beberapa perolehan aset tempur terbaharu terutamanya bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diberi perhatian khusus.

“Biar ATM teliti perkara ini kerana mereka pengguna dan sebagai Menteri Pertahanan, saya akan pastikan rundingan terbaik untuk negara dan aset yang terbaik untuk tentera kita,” katanya ketika berucap merasmikan Retreat Hala Tuju Kementerian Pertahanan di sini hari ini. (Utusan)

Perkasakan ATM : Perolehan MRCA, MPA, MRSS

SHAH ALAM  - Perolehan pesawat pe­juang pelbagai peranan (MRCA) baharu bagi menggantikan pesawat MiG-29N, sama ada dari jenis Eurofighter Typhoon atau pun Dassault Rafale akan diputuskan sebelum tahun 2020.

Langkah serupa juga akan dibuat ke atas perolehan Pesawat Rondaan Maritim (MPA) generasi baharu serta Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) untuk ke­gunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Kandidat MRSS adalah LPD dari PT PAL (photo : wiki)

Perkara itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai langkah memperkasakan kesiap­siagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran keselamatan terkini.

“Biar ATM selaku pengguna nilai kesesuaiannya dan selaku Menteri Pertahanan, saya mahu rundingan terbaik untuk negara dan aset terbaik buat tentera,” katanya ketika berucap merasmikan Retreat Hala Tuju Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

TUDM memerlukan sekurang-kurangnya satu skuadron (18 buah) pesawat MRCA baharu dan empat buah pesawat MPA gene­rasi terkini, manakala TLDM pula memerlukan tiga buah kapal MRSS moden bagi menjamin kedaulatan negara.

Ditanya lanjut dalam sidang akhbarnya selepas itu, apakah beliau optimis perolehan tersebut mampu dilakukan dalam tempoh ditetapkan memandangkan ekonomi negara tidak menentu, Hishammuddin berkata, perkara itu mesti dilakukan.

“Bukan lagi soal optimis tetapi kita perlu lakukan (perolehan), namun kita juga sedar pembe­lian aset ketenteran banyak dipe­ngaruhi faktor kewangan negara,” jelasnya.

Sementara itu, kepada laporan yang mengaitkan Sabah sebagai transit bagi kumpulan militan Daesh, Hishammuddin berkata, laporan berkenaan adalah tidak benar kerana semua negara terdedah kepada ancaman pengganas.

“Mereka boleh bertindak walaupun bersendirian dan jika sekalipun militan itu ditahan di Sabah, tidak bererti Sabah adalah transit kerana mereka ini boleh berada di mana-mana sahaja,” katanya. (Utusan)

Militer Indonesia

No comments: